Ke Mana Hilangnya Bendang Kita
Bonda,
aku rindukan kampung kita yang dulu
aku rindukan bendang kita ketika padi mula
menguning bagaikan lautan emas brombak
ketika dipuput bayu
aku rindukan suara burung pipit yang berebut
menjamah padi ketika mula masak
aku rindukan lincahnya puyu berenang di celah-celah
rumpun padi yang mula membesar
aku rindukan anak sungai yang mengalir jernih
dia dalamnya sarat dengan sembilang, sepat, haruan
yang sentiasa menanti memmakan umpan pancing kita
dan yang paling aku rindukan bonda
menjamah beras baru yang dulu kita raikan sekeluarga
dengan berlaukkan daging ayam kampung yang lazat.
Bonda,
kini bendang kita dihuni mensiang yang meninggi
senduduk semakin banyak tumbuh meliar
anak sungai diganti dengan sungai batu
yang terkadang airnya laju dan terkadang lesu
burung pipit merajuk membawa diri entah ke mana
dan sawah kita mungkinkah dihuni oleh si batik ular sawa.
Bonda,
akan pulihkah bendang kita kembali?
atau akan hilang dan tidak berganti?
Dewan Sastera, Julai, 2002.
Sajak ‘Ke Mana Hilangnya Bendang Kita’ hasil karya Hanis N.S yang dipetik dari Dewan Saster, Julai 2002, mengisahkan perasaan penulis yang amat merindui bendang di kampung halamannya. Hal ini demikian kerana bendang tersebut adalah sangat signifikan terhadap dirinya. Tajuk ‘Ke Mana Hilangnya Bendang Kita’ juga jelas memaparkan perasaan rindu penulis yang melampu sehingga mengatakan bahawa bendang tersebut ‘hilang’. Frasa ‘hilang’ bermaksud tiada dari sesuatu tempat yang menggambarkan bahawa bendang tersebut dialihkan dari tempat asal sedangkan perkara ini adalah mustahil. Bagi memastikan pembaca dapat memahami perasaan penulis dengan lebih jelas, jadi penulis menggunakan beberapa unsur-unsur kesusasteraan dalam karya tersebut seperti persoalan, unsur imejan, struktur sajak, nada, dan diksi yang menarik. Oleh itu, ulasan ini akan membincangkan keberkesanan unsur-unsur tersebut di dalam sajak ini.
Persoalan yang jelas dipaparkan oleh penulis ialah memori lalu hilang. Berdasarkan sajak, Hanis N.S. menceritakan tentang bendang. Bagi penulis, bendang sangat bermakna kerana bendang adalah jantung kepada kampung halamannya. Hal ini dapat dibuktikan, ketika adanya bendang keadaan kampung tersebut sangat damai, sentosa dan tenteram.
‘ aku rindukan bendang kita ketika padi
mula menguning bagaikan lautan emas berombak
ketika dipuput bayu
aku rindukan suara burung pipit …’ [baris 3-6]
Keratan sajak di atas menggambarkan suasana bendang ketika bendang masih dikerjakan. Suasana bendang itu menghiburkan hati penulis. Namun, apabila bendang ini sudah tidak dikerjakan semua kedamaian ini lesap. Hal ini dapat digambarkan oleh penulis pada rangkap kedua dengan jelas. Impaknya, penulis berasa rindu. Suasana kampung halaman yang damai di bendang itulah memori yang hilang.
Seterusnya, penulis memasukkan unsur-unsur imejan dengan sarat agar pembaca dapat memahami perasaan rindunya dengan lebih tepat. Penggunaan unsur imejan ini memberikan kesan yang lebih mendalam apabila penulis menempelkan sifat bersama unsur imejan.
‘ aku rindukan bendang kita ketika padi
mula menguning bagaikan lautan emas berombak’ [baris 3-5]
Berdasarkan petikan sajak di atas penulis cuba menyampaikan suasana di bendang ketika padi mula masak. ‘padi’ ialah unsur imejan yang digunakan oleh penulis dan disifatkan dengan warna kuning berdasarkan frasa ‘ mula menguning’. Oleh itu, unsur imejan dan sifat ini meberikan kesan visual dan membantu pembaca untuk membayangkan keadaan bendang tersebut dengan lebih jelas. Frasa ‘mula’ pula membuatkan imaginasi pembaca tidak besifat kaku namun lebih hidup kerana pembaca dapat akan membayangkan keadaan padi yang berubah menjadi kuning.
‘ aku rindukan suara burung pipit yang berebut
menjamah padi ketika mula masak’ [ baris 6-7]
Manakala, keratan sajak di atas menampakkan pembaca bahawa selain kesan visual penulis juga menggunakan kesan audio untuk memastikan pembaca benar-benar berada di kawasan bendang. Frasa ‘suara burung pipit’ membuatkan pembaca membayangkan bunyi burung pipit. Selain itu, penempelan sifat terhadap ‘suara burung pipit’ iaitu sifat ‘berebut menjamah padi’ membuatkan bayangan bunyi yang lebih jelas.
Oleh itu, penggunaan unsur imejan yang member kesan visual dan bunyi membawa pembaca kembali ke masa silam dan mengalami kembali kedamian yang pernah penulis rasai.
Apabila di lihat kembali sajak, sajak ini dibahagikan kepada 3 rangkap. Rangkap pertama mempunyai 15 rangkap, rangkap kedua mempunyai 7 rangkap dan rangkap terakhir mempunyai 3 rangkap. Penulis, Hanis N.S, sengaja membahagikan sajak ini kepada 3 rangkap untuk memudahkan pembaca memahami perasannya kerana penulis menggunakan teknik imbas kembali dalam sajak.
Rangkap pertama sajak merupakan kenangan lama penulis dan penulis mengimbau kembali masa tersebut dengan menggunakan teknik imbas kembali. Sepanjang rangkap ini penulis membawa pembaca untuk menyinggah masa lampaunya. Baris ‘aku rindukan kampung kita yang dulu’ [baris 2] merupakan pendahuluan sajak yang memberikan cetusan idea awal terhadap pembaca tentang apa yang akan diluahkan penulis. Pada rangkap kedua, penulis membawa pembaca ke masa kini. Penggunaan frasa ‘kini’ merupakan isyarakat kepada pembaca bahawa penulis mahu mereka kembali ke masa kini dan melihat keadaan bendang tersebut yang sudah tidak dikerjakan lagi. Baris 17 hingga 22 menjelaskan pembaca keadaan bendang tersbut. Manakala rangkap ketiga menajadi penutup sajak kerasa penulis meletakkan harapan penulis terhadap bendang tesebut. Oleh yang demikian, penyusunan rangkap-rangkap ini membantu pembaca untuk memahami pegerakan waktu yang penulis lakukan.
Di samping itu, penulis menggunakan repitisi frasa ‘Bonda’ pada setiap rangkap bagi membuatkan nada sajak bersifat melankolik. Penggunaan frasa ini menggambarkan bahawa penulis seolah-olah sedang meluahkan perasaan kepada bondanya di dalam hati. Hal ini dapat dikukuhkan lagi dengan penggunaan koma ‘,’ pada setiap frasa ‘Bonda’ awal setiap rangkap. Perkara ini membuktikan bahawa penulis cuba memisahkan antara mesej yang ingin disampaikan dengan watak ‘Bonda’ tersebut.
Bukan itu sahaja, pemilihan diksi yang sesuai membuatkan pembaca benar-benar memahami rintihan penulis yang merindui bendangnya yang damai. Frasa ‘lautan’ pada baris 3 digunakan penulis bukan sahaja ingin meletakkan sifat zahir lautan yang luas tetapi juga untuk memberikan kesan keadaan seperti di lautan yang aman dan nyaman dengan tiupan bayunya. Begitu juga dengan frasa ‘menjamah’ yang dipersonifikasikan kepada burung pipit pada baris 7. Frasa ‘menjamah’ menggambarkan keadaan burung yang sopan dan menampakkan kerelaan penulis untuk melihat burung pipit memakan padi tersebut. Oleh itu, pada rangkap pertama penulis menggunaan diksi yang menggambarkan perasaan yang positif.
Namun, pada rangkap kedua penulis menggunakan diksi yang menggambarkan perasaan yang negatif bagi menekankan perasaan sedihnya terhadap ketiadaan bendang tersebut. Frasa ‘meliar’ pada baris ke-18 menggambarkan perasaan penulis yang tidak rela dengan keadaan bendang tersebut. Manakala frasa ‘merajuk’ yang disifatkan kepada burung pipit juga memberikan suasana yang sedih. Jadi, pemilihan diksi membantu pembaca memahami perasaan penulis.
Secara tuntasnya, penulis menggambungkan unsur-unsur kesusastereaan bagi menyampaikan perasaan rindunya terhadap memori lalunya yang hilang kesan daripada bendang yang tidak dikerjakan lagi. Pembaca benar-benar terkesan dengan jalinan unsur-unsur ini dan unsur-unsur ini juga membantu pembaca untuk menyelami perasaan penulis.